Kuartet 4x100m wanita tamatkan aksi final di tempat kedua tercorot

Sukan

PETALING JAYA: Kuartet 4×100 meter (m) wanita negara terpaksa berpuas hati dengan keputusan kedua tercorot dalam aksi final di Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan, sebentar tadi.

Dalam aksi final tersebut, Azreen Nabila Alias selaku pelari pertama diikuti Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling menamatkan larian mereka dengan catatan masa 44.75 saat (s) untuk berada di kedudukan keenam.

Pingat emas dimenangi kuartet dari China selepas menamatkan larian 43.28s manakala perak menjadi milik India yang melakukan catatan masa 43.86s dan gangsa diraih oleh Thailand dengan 44.26s.

Sebagai rekod, kuartet wanita negara yang beraksi di Stadium Gumi itu merupakan pemegang rekod kebangsaan iaitu 44.58s ketika meraih gangsa di Sukan SEA 2023. – UTUSAN