UMNO didesak ambil tindakan tegas terhadap Tengku Zafrul

Politik

PETALING JAYA: UMNO digesa mengambil tindakan tegas terhadap bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, susulan keputusannya keluar parti dan menyatakan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Desakan itu dibuat oleh Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang turut mencadangkan agar UMNO menyemak semula akujanji ditandatangani Zafrul ketika menjadi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), termasuk kemungkinan menuntut ganti rugi RM100 juta sekiranya langkahnya dianggap sebagai tindakan melompat parti.

“Saya akan mendesak UMNO semak balik akujanji semasa Zafrul menjadi calon BN di PRU ke-15. Apakah Zafrul boleh dituntut bayar RM100 juta kerana lompat parti,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Mohd. Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menegaskan, isu penyertaan Tengku Zafrul ke dalam PKR akan dibangkitkan dalam mesyuarat MKT yang akan datang.

“Saya pasti akan membangkitkan isu Tengku Zafrul mahu menyertai PKR dalam mesyuarat MKT akan datang,” katanya.

Mohd. Puad yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menambah, isu penyertaan Zafrul ke PKR akan dibawa dalam mesyuarat MKT akan datang dan menggesa UMNO tidak sekadar menyatakan rasa kesal, sebaliknya menegur secara terbuka Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, langkah PKR menerima bekas pemimpin UMNO tanpa rundingan boleh mencetuskan krisis kepercayaan dalam kalangan akar umbi terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

“Jika dibiar, tikam belakang akan berlaku lagi. Jangan salahkan UMNO jika ahli hilang kepercayaan terhadap PMX,” katanya.

Mohd. Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit berkata, beliau turut memberi amaran bahawa tindakan PKR menerima bekas pemimpin UMNO tanpa rundingan boleh mencetuskan krisis kepercayaan dalam kalangan akar umbi UMNO terhadap Anwar selaku Perdana Menteri dan terhadap Kerajaan Perpaduan.

“PKR mesti diberi amaran. Jika dibiar, tikam belakang akan berlaku lagi. Jangan salahkan UMNO jika ahli-ahli UMNO hilang kepercayaan terhadap PMX. Kerjasama Kerajaan Perpaduan akan rosak binasa,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) meletakkan jawatan dalam UMNO dan mengesahkan hasrat menyertai PKR selepas mendapatkan pandangan beberapa pihak termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, PKR menerusi Setiausaha Agungnya, Dr. Fuziah Salleh, memaklumkan bahawa parti itu belum menerima permohonan rasmi daripada Zafrul. Katanya, permohonan keanggotaan hanya diterima melalui sistem dalam talian dan perlu melalui proses penilaian Majlis Pimpinan Pusat (MPP). – UTUSAN