Gaza menuntut lebih daripada simpati

Politik

PETALING JAYA: Perdana Menteri menggesa masyarakat antarabangsa bertindak tegas dan konsisten sebagai tindak balas terhadap jenayah genosid di Gaza.

Semasa berucap pada Dialog Shangri-La (SLD) Ke-22 di Singapura, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skala kemusnahan, sikap tidak peduli terhadap norma kemanusiaan dan kegagalan institusi global menangani konflik itu secara berkesan menuntut lebih daripada sekadar luahan simpati.

“Kita tidak boleh membiarkan kemarahan terpilih atau keletihan strategik mengaburkan kejelasan moral kita. Sesungguhnya, genosid di Gaza adalah ujian terhadap hati nurani kolektif kita,” katanya.

Perdana Menteri turut menggambarkan landskap global semasa dengan bilangan konflik bersenjata pada tahap tertinggi, sejak tamatnya Perang Dunia Kedua sebagai detik yang menyedarkan dalam sejarah.

Anwar berkata, Malaysia tidak berada dalam sebarang ilusi mengenai cabaran keselamatan mendatang, sambil menyatakan kestabilan yang berkekalan mesti berasaskan kepada asas yang kukuh, dasar yang jelas dan visi jangka panjang.

Dalam perkembangan lain, Anwar menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan ketegangan dalam kalangan negara yang menuntut Laut China Selatan.

Beliau menekankan keperluan untuk mewujudkan satu kod tatakelakuan dalam menguruskan isu-isu berkaitan Laut China Selatan.

“Pertikaian di Laut China Selatan adalah paling baik diselesaikan melalui diplomasi yang berprinsip dan berterusan. Tenang apabila perlu, tetapi sentiasa tegas,” katanya.

SLD Ke-22 berlangsung selama tiga hari bermula kelmarin, menghimpunkan wakil 47 negara termasuk 40 perwakilan peringkat menteri, 20 ketua angkatan tentera serta lebih 20 pegawai kanan pertahanan dan tokoh akademik.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut berada di Singapura.

Dialog tahunan anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS) itu menjadi medan utama membincangkan cabaran keselamatan dan pertahanan di rantau Asia-Pasifik. – UTUSAN