SEREMBAN: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengajak Ultras Malaya yang merupakan penyokong kuat skuad Harimau Malaya kembali memberikan sokongan di stadium.
Hannah berkata, semangat skuad Harimau Malaya menentang pasukan lawan datangnya daripada jeritan rakyat serta sorakan penyokong terutamanya Ultras Malaya.
“Saya menyerulah kepada Ultras Malaya. Tolong kembali ke Stadium Malaysia Bukit Jalil kerana bila saya menonton Manchester United lawan ASEAN All-Star, walaupun pasukan antarabangsa tetapi berbeza kerana tak ada jeritan Ultras Malaya.
“Jadi saya tahu jeritan dan sokongan ataupun lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Ultras Malaya itu mainkan perbezaan yang besar sangat dalam membantu Harimau Malaya.
“Tenaga itu missing daripada MU dengan ASEAN All-Star. Jadi, saya menyeru meminta Ultras Malaya kembali bersemangat kuat untuk bantu pasukan Harimau Malaya,” katanya selepas Majlis Perasmian Kejohanan Wushu Remaja Kebangsaan ke-14 KBS-KPM-AG Asia 2025 di sini, kelmarin.
Kelmarin, perlawanan persahabatan Tier 1 antara Harimau Malaya berdepan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur masih belum dapat menarik sokongan besar peminat dan suasana agak suram tanpa kehadiran Ultras Malaya.
Dalam perlawanan berkenaan, Malaysia berjaya memberi tentangan sengit ke atas pasukan di ranking ke-72 dunia itu apabila terikat 1-1 pada aksi berkenaan. – UTUSAN