Tengku Zafrul serah kedudukan menteri kepada Anwar

Politik

PETALING JAYA: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerah kedudukannya dalam kabinet kerajaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Ia susulan UMNO menuntut agar kuota menteri penuh di dalam Kabinet Persekutuan dikembalikan semula kepada parti itu susulan tindakan Tengku Zafrul meletakkan semua jawatan dan keahliannya dalam UMNO untuk sertai PKR.

Tengku Zafrul berkata, keputusan meninggalkan UMNO dan menyertai PKR diambil hasil pertimbangan mendalam dan sepenuhnya yang datang daripada dirinya sendiri tanpa dipaksa atau dipengaruhi mana-mana pihak.

Beliau turut menjawab desakan sesetengah pihak agar beliau meletakkan jawatan menteri memandangkan ia adalah kuota UMNO.

“Saya ingin memberi fokus kepada ibadah haji dan saya serahkan segala urusan itu kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya memetik laporan Bernama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji.

Beliau berkata keputusan ini bukanlah satu keputusan yang mudah dan menghargai mereka yang memahami hak beliau sebagai individu dalam memilih hala tuju politik saya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta rakan-rakan dan ahli-ahli UMNO yang telah banyak membantu, memberi sokongan dan dorongan sepanjang saya aktif dalam UMNO,” katanya. 

Kelmarin, Tengku Zafrul telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai PKR.

Perkara itu disahkan sendiri Ahmad Zahid semalam bahawa Setiausaha Kerja UMNO Datuk Mohd Sumali Reduan telah menerima surat rasmi berhubung peletakan jawatan Tengku Zafrul.