PN mahu kerajaan buka ruang rundingan peruntukan

Politik

KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) mahu Kerajaan Persekutuan menunjukkan kesungguhan dan membuka semula pintu rundingan berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang masih menemui jalan buntu ketika ini.

Ketua Whipnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sikap kerajaan yang hanya memberi maklum balas sebulan selepas surat permohonan rasmi dihanta pada Mac lalu seolah-olah memberi ‘isyarat’ tiada kesungguhan dalam menyelesaikan isu berkenaan.

“Namun ia sekadar meminta kami menyatakan pendirian terhadap cadangan memorandum persefahaman (MoU) yang diberikan dan bukan jemputan untuk berunding,” katanya pada sidang media sempena penyerahan memorandum bantahan terhadap cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) di sini hari ini.

Setiausaha Agung Pas itu memberitahu, PN tetap konsisten dalam menyatakan kesediaan untuk menyertai rundingan melalui jawatankuasa khas yang ditubuhkan pihak kerajaan sebagai saluran rasmi perundingan mengenai peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

“Kami bukan minta (peruntukan) sesuka hati dan kami juga telah menyatakan tidak boleh bersetuju dengan syarat dinyatakan dalam draf cadangan MoU berkenaan. Contohnya cadangan agar ahli Parlimen kami akur kepada beberapa syarat politik tertentu untuk diberikan peruntukan.

“Itu bertentangan dengan prinsip demokrasi kerana rakyat tetap memerlukan khidmat wakil mereka tanpa mengira parti politik yang diwakili. PN tidak akan berhenti membawa isu ini di Parlimen sehingga kerajaan membuka laluan rundingan yang adil dan telus,” ujarnya.-UTUSAN