PETALING JAYA: Pemain boling negara, Izz Naqiuddin Putera melakar kejayaan manis apabila muncul juara Kejohanan Boling Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur (KLIO) 2025 di Sunway Mega Lanes, sekali gus meraih gelaran pertama di laman sendiri.
Pemain berusia 21 tahun itu, menjatuhkan 1,993 pin dalam lapan set permainan untuk menewaskan pencabar terdekat, Azriq Izam (1,951) dan Ahmad Aidil (1,882) dalam kategori Divisyen Terbuka Masters, hari ini.
Apa yang lebih membanggakan, Izz menewaskan beberapa nama besar negara seperti Muhammad Rafiq Ismail, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol.
“Saya rasa sangat gembira, rasa kerja keras saya akhirnya membuahkan hasil.
“Ini gelaran pertama saya menang di Sunway, sebelum ini saya cuma dapat tempat ke-16 dalam Terbuka Malaysia,” kata Izz kepada pemberita selepas perlawanan, hari ini.
Dengan gelaran ini, Izz kini sudah mengumpul tiga kejuaraan antarabangsa selepas menjuarai Terbuka Singapura 2024 dan Pesta Boling Antarabangsa Pulau Pinang 2023.
Pemain skuad elit kebangsaan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan berikrar menghadiahkan sebahagian untuk ayahnya.
Dalam kategori sama, Nur Syazwani Sahar muncul juara wanita selepas menduduki tempat ke-10 keseluruhan dengan jatuhan 1,776 pin sekali gus menjadi pemain wanita terbaik kejohanan.
“Dua permainan saya ketinggalan mata jatuhan pin. Untuk kejar balik saya rasa macam susah sedikit. Jadi saya kekalkan sasaran untuk 200 jatuhan pin dalam satu permainan,” kata Syazwani.
Lebih manis, Syazwani membawa pulang dua hadiah wang tunai menerusi pencapaian dalam kategori campuran (RM 7,000) dan wanita (RM 850).-UTUSAN