BN tetap teguh di sebalik angin politik bertukar laluan

Politik

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) tetap teguh dan tidak berubah dalam mempertahankan prinsip demokrasi dan membela pembangunan yang inklusif di sebalik dunia berubah arah serta angin politik bertukar haluan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN mencapai usia 51 tahun pada hari ini terus menjadi gagasan jiwa merangkul kepelbagaian, merentas garis perbezaan dan menyatukan rakyat di bawah panji cita-cita besar demi Malaysia yang damai, makmur dan berdaya tahan.

Katanya, BN selaku wadah politik yang telah menempuh gelombang sejarah dan terus utuh sebagai tiang seri perjuangan membina negara bangsa Malaysia selama lima dekad lalu.

“Alhamdulillah, hari ini genaplah 51 tahun usia Barisan Nasional yang merupakan sebuah wadah politik yang telah menempuh gelombang sejarah dan terus utuh sebagai tiang seri perjuangan membina negara bangsa Malaysia.

“Lebih separuh abad lamanya, Barisan Nasional menjadi gagasan jiwa yang merangkul kepelbagaian, merentas garis perbezaan, dan menyatukan rakyat di bawah panji cita-cita besar demi Malaysia yang damai, makmur dan berdaya tahan.

“Dalam badai perubahan zaman, ketika dunia berubah arah dan angin politik bertukar haluan, Barisan Nasional tetap berdiri teguh dan tidak goyah. 

“Kita menjunjung tinggi prinsip-prinsip demokrasi yang berakar kuat, membela pembangunan yang inklusif, dan menyemai benih perpaduan nasional yang kian subur dari generasi ke generasi,” katanya dalam Perutusan Ulang Tahun BN Ke-51 hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh ahli, jentera parti, pimpinan di semua peringkat, serta penyokong setia yang tidak pernah berpaling sama ada dalam susah mahupun senang, ketika menang mahupun diuji.

“Kesetiaan kalian adalah nadi kekuatan kita. Semangat kalian adalah nyawa kepada perjuangan ini.

“Semoga ulang tahun ke-51 ini menjadi muhasabah yang menyegarkan, menjadi ilham untuk kita terus mara, melangkah penuh yakin dalam menyulam sejarah baharu yang lebih bermakna. Moga perjuangan ini terus diberkati dan dipandu oleh petunjuk Ilahi,” katanya.-UTUSAN