Klinik STL 2025 serlah bakat muda orang asli di Kuala Lipis

Sukan

KUALA LUMPUR: Klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 membuka tirai dengan penuh semangat apabila sesi pertamanya berjaya menghimpunkan lebih 400 pelajar Orang Asli dari suku Semai di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) RPS Bertau, Kuala Lipis, Pahang.

Program pembangunan bakat anjuran Astro Arena bersama Astro Kasih itu turut melibatkan pelajar dari enam buah sekolah sekitar, sekali gus menjadikan edisi kali ini paling inklusif dan menyeluruh.

Lebih istimewa, ini merupakan kali pertama Klinik STL diadakan di negeri Pahang, bersempena penganjuran STL Divisyen 1 yang berlangsung dari 28 Mei hingga 1 Jun di Stadium SUKPA, Kuantan.

Ketua Jurulatih Klinik STL, Mohd Futra Abdul Ghani yang juga bekas perejam emas skuad kebangsaan, menegaskan bahawa pendedahan awal terhadap sukan sepak takraw penting dalam membentuk asas kemahiran yang kukuh dalam kalangan pemain muda.

“Klinik ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada kawalan bola, libasan dan servis, malah menjadi platform melahirkan pelapis yang berpotensi tinggi dari akar umbi, termasuk dari komuniti orang asli dan belia wanita,” ujarnya.

Klinik STL turut mendapat sokongan padu daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) serta penaja utama musim ini, CelcomDigi, yang bersama-sama menjayakan misi memperkukuh ekosistem pembangunan sukan negara.

Inisiatif ini juga menerima pengiktirafan dan dukungan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melihat usaha berterusan ini sebagai pelengkap kepada dasar pembangunan sukan di peringkat sekolah dan luar bandar.

Selepas Kuala Lipis, Klinik STL akan meneruskan jelajah ke beberapa lokasi utama seperti Terengganu, Johor, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang bermula Julai ini.-UTUSAN