Banyak projek di Kelantan tinggal ‘papan tanda’

Politik

MUKADIMAH

DENGAN hanya tiga wakil pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, sesetengah pihak memandang ringan fungsi dan kehadiran mereka memandangkan kerajaan negeri yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memiliki majoriti dua pertiga dengan meraih 40 kerusi.

Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, YATIMIN ABDULLAH bersama Ketua Pembangkang DUN Kelantan, MOHD. SYAHBUDDIN HASHIM berhubung sejauh mana keberkesanan mereka dalam memainkan peranan semak dan imbang kepada kerajaan negeri.

UTUSAN: Tiga kerusi, berkesankah suara pembangkang?

MOHD. SYAHBUDDIN: Walaupun cuma bertiga, kami bukan bisu. Semasa persidangan (DUN) lalu, kami telah bentangkan dan menyuarakan 101 keluhan serta suara rakyat merangkumi isu air, ekonomi, pelaburan, royalti, tanah adat, projek gagal dan belanjawan defisit lebih RM50 juta. Kami datang ke Sidang DUN bukan sekadar angguk dan senyum. Kami datang dengan data, laporan audit dan suara rakyat di akar umbi. Walaupun bertiga, kami tanya apa yang 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak berani tanya.

Ada yang kata kerajaan banyak bercakap soal retorik, apa tindakan pembangkang dalam menjelaskan isu-isu tersebut kepada rakyat?

Kita dedah satu per satu dalam sidang. Contoh, pelaburan asing (FDI) Kelantan cuma RM138 juta pada 2023. Terendah antara negeri. Tetapi kerajaan canang konon ekonomi kita rancak. Kami tanya, mana insentif cukai kompetitif? Mana pelabur digital yang dijanjikan? Kami juga mencabar kerajaan negeri supaya membentangkan status projek-projek mega di Kelantan seperti KB Sentral, Bandar Perabot Gua Musang, Projek Tadahan Rahmat dan Solar di Tok Uban. Ini kerana banyak tinggal ‘papan tanda’. Retorik tidak boleh isi perut rakyat. Kami bawa ini ke pengetahuan semua di DUN, pihak media dan ke lapangan. Rakyat berhak tahu apa yang berlaku di sebalik tirai propaganda.

Isu yang dibawa pembangkang berasaskan kajian dan analisis?

Setiap soalan yang kami ajukan kepada kerajaan bukan bersifat ‘peluru tabur’. Ia hasil daripada kajian lapangan, aduan rakyat, semakan laporan rasmi dan sesi libat urus dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pakar. Kami rujuk Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Laporan Audit Negara, data Jabatan Perangkaan (DOSM) dan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Sebagai contoh, kami bangkitkan status tanah adat Orang Asli di Pos Brooke, kelewatan pembinaan pusat pengumpulan hasil pertanian di Lojing, projek lembu dan kambing tenusu yang senyap tanpa laporan prestasi. Semuanya ada asas. Kami bukan pembangkang mikrofon, kami pembangkang penyelidik.

Sidang DUN, medan demokrasi atau majlis angguk setuju?

Sepatutnya dewan ini tempat menyemak dasar dan menjaga integriti kerajaan. Tapi dalam pengalaman kami, banyak masa ia jadi medan ‘ya, betul YB’ sahaja. Bila kami bangkitkan fakta daripada laporan audit atau persoal status projek gagal, ada yang perlekeh dan buat sindiran. Tetapi kami tidak goyah. Demokrasi bukan milik majoriti bisu, tapi milik suara yang berani. Kami tidak akan berhenti bersuara walau satu dewan cuba senyap. Sebab suara rakyat tak boleh diredam hanya kerana ia tak selesa untuk didengar.

Masalah air, pembangunan dan kemudahan infrastruktur dianggap isu ‘kitar semula’?

Kalau paip masih berkarat, tekanan air masih rendah dan projek jalan masih tertangguh, itu bukan kitar semula. Itu tanda kerajaan masih gagal selesaikan isu asas rakyat. Saya sendiri bangkitkan dalam dewan, kadar air tidak terhasil (NRW) di Kelantan masih 53.5 peratus, tertinggi di Malaysia. Apa pelan pemulihan? Ada atau tidak pelan tiga tahun yang telus dan boleh diaudit? Begitu juga dengan projek jalan. Kami tanya, berapa banyak projek jalan siap antara 2020 hingga 2024? – UTUSAN