Aaron-Wooi Yik sapu RM709,024 dalam dua bulan

Sukan

PETALING JAYA: Dalam tempoh kurang dua bulan, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih pendapatan lumayan berjumlah RM709,024 hasil kejayaan cemerlang di empat kejohanan utama.

Jumlah itu diperoleh menerusi kemenangan mereka di Kejohanan Badminton Asia (BAC), Terbuka Thailand manakala Malaysia Masters muncul naib juara dan yang terkini meraih gelaran di Terbuka Singapura pada Ahad.

Gelaran paling bernilai diraih mereka adalah di Singapura dengan membawa pulang AS$74,000 (RM314,980) selepas menewaskan gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dalam aksi final, kelmarin.

Mereka turut memenangi AS$37,525 (RM159,725) di Terbuka Thailand, Malaysia Masters AS$18,050 (RM76,829) dan AS$37,000 (RM157,490) daripada kejayaan di BAC 2025.

Kejayaan empat gelaran sejak 13 April lalu membuktikan mereka kini berada di kemuncak prestasi menjelang Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta pada minggu ini.

Kejohanan bertaraf Super 1,000 itu menawarkan ganjaran wang tunai yang lumayan iaitu AS$96,200 (RM409,475) selaku juara dan AS$45,500 (RM193,670) sebagai naib juara. – UTUSAN