Rusuhan gegar Paris selepas kejuaraan PSG

Sukan

PARIS: Lebih 500 individu ditahan polis selepas sambutan kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) dalam Liga Juara-Juara bertukar menjadi rusuhan di sekitar ibu kota Perancis, termasuk dua kematian dan hampir 200 kecederaan dilaporkan.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, seramai 559 orang ditahan dengan 491 daripadanya di Paris, manakala 320 individu telah diletakkan dalam tahanan reman.

Rusuhan tercetus selepas PSG menewaskan Inter Milan dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara, Sabtu lalu.

Ketua Polis Paris, Laurent Nunez berkata, seorang lelaki berusia 20-an maut dalam kemalangan jalan raya yang dipercayai berkait dengan sambutan tersebut. Di bandar Dax pula, seorang remaja 17 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

“Pihak penyiasat akan menentukan sama ada kematian ini ada kaitan langsung dengan perayaan. Namun, setakat ini ia dilihat berlaku sewaktu sambutan,” katanya.

Rusuhan paling teruk berlaku di Champs Elysees apabila ribuan penyokong membanjiri jalan utama itu, memecahkan perabot awam dan menyerang polis dengan objek keras sekaligus memaksa polis bertindak balas dengan gas pemedih mata dan meriam air bagi mengawal keadaan.

Sebanyak 200 kenderaan dilaporkan musnah akibat kebakaran manakala 22 anggota keselamatan dan tujuh anggota bomba turut mengalami kecederaan.

Pihak berkuasa menjangkakan kekacauan berlanjutan apabila PSG dijadual mengadakan perarakan kemenangan di Champs Elysees dan sambutan rasmi di stadium Parc des Princes pada Ahad petang.

“Kami telah menetapkan kehadiran maksimum hanya 100,000 orang. Selepas angka itu, tiada lagi individu dibenarkan masuk,” tegas Nunez sambil memaklumkan 5,400 anggota keselamatan telah digerakkan bagi mengawal situasi.-UTUSAN