PUTRAJAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dinasihatkan agar tidak melayan gesaan Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan yang mahu MCA ‘dinyahkan’ daripada Kerajaan Perpaduan.
Aktivis politik, Dr. Amran Ahmad berkata, gesaan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bangi itu disifatkan sebagai biadab.
Beliau berkata, Syahredzan dilihat hanya pak turut, mengikut arahan pihak atasan parti semata-mata dengan harapan dapat bertanding lagi pada pilihan raya umum penggal akan datang.
“Pada masa sama, Dr Akmal kena faham apabila Syahredzan masuk DAP, dan pada penggal pertama jadi Ahli Parlimen Bangi, beliau perlu mengampu bos-bos besar DAP dengan menghentam MCA tanpa mempedulikan peranan berdekad MCA dalam kestabilan kerajaan, apatah lagi mengenang jasa-jasa MCA kepada masyarakat Cina.
“Sebagai Ketua Pemuda UMNO, tentunya Dr. Muhamad Akmal mempunyai lebih banyak tugas untuk membangunkan agama, bangsa dan negara terutama negeri Melaka tanpa perlu mempedulikan ‘pasu bunga’ terbaharu DAP ini,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Syahredzan sebelum ini dilapor mengesa agar MCA dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan kerana didakwa sering menyerang Kerajaan Madani dengan fakta yang salah dan separuh masak.
Susulan gesaan dibuat Syahredzan, Muhamad Akmal dalam reaksi balas mencabarnya supaya membawa usul agar Barisan Nasional (BN) dikeluarkan daripada Kerajaan Perpaduan.
Muhammad Akmal menegaskan, BN menyertai Kerajaan Perpaduan sebagai sebuah pasukan dan MCA adalah sebahagian daripada gabungan tersebut.
Mengulas lanjut, Amran berkata, adalah lebih baik Syahredzan memperbetulkan DAP terlebih dahulu dengan meningkatkan jumlah ahli Melayu dalam parti itu.
Ini kerana berdasarkan statistik, 90 peratus ahli DAP adalag berbangsa Cina, sedikit India dan segelintir sahaja ahli Melayu jika mahu terus bercita-cita menjadi perdana menteri. – UTUSAN