Garcés bakal perkuat benteng Harimau Malaya

Sukan

PETALING JAYA: Pertahanan tengah kelahiran Argentina, Facundo Garcés diumumkan sebagai sebagai pemain warisan baharu skuad kebangsaan.

Garces telah melepas semua syarat yang diperlukan dan layak untuk beraksi menentang Vietnam dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun ini.

Pemain berusia 25 tahun itu sebelum ini telah menamatkan komitmennya bersama Deportivo Alavés dalam saingan La Liga Sepanyol.

Kehadiran Garcés dianggap sebagai satu peningkatan ketara kepada barisan pertahanan negara yang kini dalam fasa membentuk kombinasi terbaik di bawah bimbingan ketua jurulatih, Peter Clamovski.

Dengan pengalaman beraksi di liga utama Argentina dan Eropah, Garcés dijangka membawa ketenangan serta kekuatan taktikal dalam mengemudi benteng Harimau Malaya menghadapi lawan dari rantau Asia.

Penyertaan Garcés juga merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam memperkukuh skuad kebangsaan dengan pemain-pemain yang mempunyai nilai tambah serta bersedia berkorban demi panji negara.

Garcés telah menyertai kem latihan pusat pasukan dalam jendela antarabangsa kali ini dan menunjukkan prestasi yang positif sepanjang sesi latihan bersama rakan sepasukan baharu.

Ketegasan dan gaya permainan matang yang dimiliki pemain tinggi lampai itu memberikan kelebihan kepada Malaysia, terutamanya dalam menghadapi pasukan yang memiliki kelebihan fizikal serta taktikal di peringkat benua.

Malaysia kini menaruh harapan tinggi agar kehadiran Garcés dapat memperkukuh lagi barisan pertahanan Harimau Malaya dan memberi impak segera dalam misi melayakkan diri ke pentas Piala Asia seterusnya.-UTUSAN