Aaron-Wooi Yik akui Herry bawa impak besar

Sukan

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui prestasi cemerlang mereka ketika ini adalah impak daripada kehadiran jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi.

Menurut Aaron, tunjuk ajar daripada pengendali kelahiran Indonesia itu dimanfaatkan sepenuh, sekali gus membolehkan dia dan Wooi Yik mara ke final dalam tiga edisi berturut-turut.

“Dia (Herry) banyak gilap aspek teknikal kami, buat kami lebih yakin nak main apa yang kami rancang,” kata Aaron selepas dia dan Wooi Yik muncul juara Terbuka Singapura, kelmarin.

Dalam aksi dramatik yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura, Aaron-Wooi Yik bangkit menewaskan beregu Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae 15-21, 21-18, 21-19.

Kejayaan itu membolehkan mereka merekodkan gelaran ketiga musim ini selepas turut muncul juara Kejohanan Badminton Asia di Ningbo, China dan Terbuka Thailand baru-baru ini.

Minggu lalu, pasangan No.3 dunia itu turut bergelar naib juara di Masters Malaysia selepas tumbang kepada rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Sementara itu, Wooi Yik berkata, dia dan Aaron tidak perlu berada pada tahap maksimum
untuk meraih kemenangan, sekali gus membayangkan potensi sebenar mereka masih belum mencapai kemuncak.

Menurut Wooi Yik, latihan harian yang intensif membolehkan prestasi 50 hingga 60 peratus dalam kejohanan pun sudah memadai untuk mengatasi pencabar elit dunia.

“Kalau dalam latihan kami beri 100 peratus, di kejohanan kami hanya dapat beri 60 atau 50 peratus tapi itu pun dah cukup. Kami rasa kami boleh buat lebih lagi,” kata Wooi Yik.

Kini, sentuhan magis Herry sekali lagi ditagih apabila Aaron-Wooi Yik bakal memulakan cabaran di Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1,000 yang bermula esok di Jakarta.

Pasangan negara itu akan membuka tirai kempen menentang beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard pada pusingan pertama.-UTUSAN