BARCELONA: Pelumba Red Bull, Max Verstappen mengakui bahawa kekecewaan telah menyebabkan perlanggarannya dengan George Russell semasa Grand Prix (GP) Sepanyol dan tindakan itu salah dan tidak sepatutnya berlaku.
Pelumba Mercedes, Russel berkata bahawa bahawa juara dunia Formula 1 (F1) itu mengecewakan dirinya sendiri apabila kelihatan sengaja melanggar jentera miliknya di Barcelona.
Verstappen yang telah memenangi empat kejuaraan berturut-turut itu menerima penalti 10 saat akibat insiden tersebut, mengakibatkan pelumba Belanda itu jatuh daripada tempat kelima ke tempat ke-10 dalam keputusan akhir.
Sebagai respon kepada kenyataan Russell, Verstappen berkata pada Ahad lalu bahawa dia akan bawa tisu lain kali dan pelanggaran itu merupakan kesilapan teknikal.
Namun semalam, pemandu berusia 27 tahun itu memuat naik kenyataan di media sosial: “Kami mempunyai strategi yang menarik dan perlumbaan yang baik di Barcelona, sehinggalah kereta keselamatan dikeluarkan.
“Pilihan tayar kami hingga ke penghujung dan beberapa tindakan selepas permulaan semula kereta keselamatan menyemarakkan kekecewaan saya, yang membawa kepada satu tindakan yang tidak betul dan tidak sepatutnya berlaku.
“Saya sentiasa memberikan segalanya untuk pasukan dan emosi kadang kala boleh memuncak. Kita menang bersama, kita kalah bersama,” katanya.
Penalti yang dikenakan ke atas Verstappen menyebabkan dia kini ketinggalan 49 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Oscar Piastri dari pasukan McLaren, yang memenangi perlumbaan Ahad lalu di hadapan rakan sepasukan, Lando Norris.
Verstappen juga diberikan tiga mata penalti pada lesen perlumbaannya dan itu menjadikan jumlahnya 11 mata, hanya satu mata lagi daripada dikenakan larangan perlumbaan. – AGENSI