PETALING JAYA: Jentera yang kurang menyengat telah mengganggu rentak pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli untuk mengulangi keputusan podium pada pusingan kedua Kejohanan Dunia FIM JuniorGP di Litar Jerez, Sepanyol, kelmarin.
Biarpun terlepas kedudukan podium, Hakim Danish yang merupakan pelumba kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu masih menamatkan perlumbaan di tempat ke-5 (26 minit 54.957 saat) dalam perlumbaan 2 dan ke-9 (26:38.433s) di perlumbaan 1.
Memacu jentera KTM, pelumba berusia 17 tahun itu berkata, dia kurang berpuas hati dengan keputusan perlumbaan kerana jurangnya dengan pelumba yang berada di kelompok tiga teratas masih jauh.
“Saya perlu perbaiki dari segi pelarasan jentera dan juga diri saya sendiri. Saya akan terus berusaha untuk perlumbaan pusingan ketiga JuniorGP di Magny Cours, Perancis (pada 6 Julai),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan SIC Racing, semalam.
Ekoran keputusan yang kurang baik berbanding pusingan pertama di Litar Estoril, Portugal yang menyaksikan Hakim Danish muncul sebagai naib juara, kedudukannya dalam senarai keseluruhan pelumba JuniorGP kini jatuh ke tangga keempat selepas mengumpul 38 mata.
Pelumba berbakat Sepanyol, Brian Uriarte yang menjuarai perlumbaan 1 dan 2 berada di kedudukan teratas dengan 75 mata, manakala, Rico Salmela dari Scotland di tempat kedua (52 mata) dan ketiga menjadi milik wakil Itali, Leonardo Zanni (39 mata).
Hakim Danish perlu segera melupakan seketika perlumbaan JuniorGP kerana hujung minggu ini dia kembali ke trek untuk Piala RedBull MotoGP Rookies di Litar Aragon, Sepanyol yang menyaksikan anak muda itu mengungguli saingan dengan 80 mata.
Sementara itu, pengurus pasukan SIC Racing MSI, Zulfahmi Khairuddin pula berkata, Hakim Danish masih perlu memperbaiki keputusannya pada sesi kelayakan yang menyaksikan pelumba itu berada di petak ke-13.
“Prestasi Hakim Danish semasa sesi latihan bebas sangat kompetitif, namun, kesilapan dalam sesi kelayakan menyebabkan dia bermula di petak ke-13 yang menyukarkan usaha untuk ke depan.
“Saya berharap kami dapat memperbaiki perkara ini di pusingan seterusnya dan kembali bersaing dalam kelompok hadapan,” katanya.-UTUSAN