JOHOR BAHRU: Kehadiran pasukan jemputan, Brunei DPMM FC dalam saingan Liga Super bagi musim 2025-2028 akan meningkatkan nilai komersial Liga Malaysia.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd. Shazli Shaik Mohd. berkata, kemasukan semula DPMM FC sejak 2008 dilihat memberi nilai tambah dalam saingan liga domestik, malah pasukan itu pernah muncul juara Piala Malaysia pada 1999.
“Saingan Liga M akan lebih menarik dengan kehadiran DPMM FC selepas Perak FC dan Kedah Darul Aman FC tidak bersaing musim depan.
“Bagi MFL, kehadiran DPMM ini sebagai satu nilai tambah kepada Liga M, kita pernah menyaksikan pemain legenda mereka seperti Patron Akakpo dan Brian Iman Bothwell.
“Sudah tentu, kehadiran mereka kali ini akan menambah seri saingan Liga Super pada musim depan, akan menjadikan liga lebih kompetitif dan menaikkan nilai komersial kerana melibatkan dua negara,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian Penyertaan DPMM FC ke Liga Super 2025-2028.
Yang turut hadir, Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan dan Pengurus Besar DPMM FC, Md. Ali Momin.
Kali terakhir DPMM FC bermain di liga M adalah pada 2008 sebelum menyertai saingan Liga Singapura pada 2009.
Ditanya tentang status pasukan Imigresen FC, Mohd. Shazli berkata, kelab itu akan beraksi dalam Liga Super musim 2025-2026 setelah menamatkan saingan Liga A1 di tempat kedua.
“Pada masa ini, pasukan Imigresen akan bermain di Liga Super musim depan, kebetulan dua pasukan Liga Super, iaitu Perak FC dan Kedah Darul Aman FC gagal memperoleh lesen kebangsaan dan tidak dapat bermain untuk liga pada musim depan.
“Maka Melaka FC dan Imigresen mengisi slot tersebut, selain itu, kedua-dua pasukan ini juga memenuhi kriteria sehingga membolehkan mereka mendapat lesen dan beraksi dalam Liga Malaysia,” katanya.UTUSAN.