PETALING JAYA: Pertembungan empat penjuru bakal disaksikan bagi merebut jawatan Presiden Olahraga Malaysia (MA) yang akan mengadakan pemilihan kepimpinan tertinggi dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 15 Jun ini.
Presiden Persatuan Olahraga Perak (POP), Datuk Karim Ibrahim membuat kemunculan semula apabila beliau merupakan salah seorang daripada calon yang bakal bertanding merebut kerusi No. 1 badan induk itu bagi penggal 2025-2029.
Selain Karim, penyandang presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim turut bertanding bersama dua lagi calon iaitu Presiden Persatuan Olahraga Amatur Terengganu (POAT), Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan MA, Datuk Mark William Ling Lee Meng.
“Untuk jawatan presiden, mengikut pencalonan yang paling banyak, Datuk Seri Shahidan Kassim empat (pencalonan), Datuk Mark Ling dua, Datuk Karim satu dan Datuk Wan Hisham satu,” kata Shahidan ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Bagi jawatan timbalan presiden pula menyaksikan lima pencalonan menawarkan diri untuk bertanding iaitu Karim, Wan Hisham, Datuk R. Annamalai, Mohamat Hassan dan Sallehudin Safar.
Bagi jawatan naib presiden pula, sembilan calon menyatakan hasrat mereka untuk merebut empat kerusi yang ditawarkan.
Setiap calon boleh bertanding lebih daripada satu jawatan bagaimanapun mereka perlu memilih satu jawatan sahaja pada hari pertandingan.
Ahli gabungan MA yang terdiri daripada 13 persatuan akan diwakili tiga delegasi untuk membuang undi menjadikan jumlah 39 undi keseluruhan. – UTUSAN