Machuca bakal perkuat Harimau Malaya?

Sukan

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya dijangka menerima satu lagi khabar gembira apabila penyerang kelab Argentina, Velez Sarsfield, Imanol Machuca dilapor bakal menyarung jersi kebangsaan.

Machuca, 25, yang kini dipinjamkan ke kelab Brazil, Fortaleza, dikatakan akan memperkuat skuad negara bagi menghadapi aksi penting menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia 2027, 10 Jun ini.

Selepas kehadiran pertahanan Deportivo Alaves, Facundo Garces,spekulasi mengenai status pemain berdarah warisan itu semakin kuat selepas laman sosial kelab Argentina, Sabado Velez, memuat naik kenyataan bahawa Machuca telah dipanggil menyertai Harimau Malaya.

“Imanol Machuca akan beraksi bersama skuad kebangsaan Malaysia. Penyerang Velez itu dipanggil bagi perlawanan Kelayakan Piala Asia menentang Vietnam pada 10 Jun. Tahniah Ima!” tulis kenyataan itu di platform X.

Terdahulu, tular juga di media sosial, gambar pemain itu memakai jersi tertera logo Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sekali gus menguatkan lagi desas-desus kehadirannya ke dalam kem negara.

Machuca yang memiliki nilai pasaran sekitar RM12 juta bukan calang-calang pemain kerana berdasarkan rekod di laman Transfermarkt, beliau sudah menjaringkan 16 gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan dalam 8,409 minit aksi profesionalnya.

Jika kehadirannya disahkan, Machuca bakal menyertai senarai pemain warisan yang dibawa masuk FAM tahun ini termasuk Hector Hevel, Gabriel Palmero dan Garces.-UTUSAN