MIDA peroleh potensi pelaburan RM4.68b dari Jepun

Perniagaan

PETALING JAYA: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berjaya memperoleh potensi pelaburan bernilai RM4.68 bilion dari Jepun melalui penyertaannya di Ekspo 2025 Osaka.

Pencapaian itu menggariskan daya tarikan Malaysia yang semakin meningkat sebagai hab strategik untuk perniagaan yang mampan dan dipacu inovasi di Asia Tenggara.

Ia menyumbang dengan ketara kepada RM7.39 bilion jumlah pelaburan berpotensi yang diperolehi di bawah penyertaan Malaysia di Ekspo setakat ini, mewakili 56.9 peratus daripada sasaran negara.

Perkara tersebut diumumkan semasa Majlis Perasmian Pavilion Malaysia yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan diserikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

Chin Tong berkata, Ekspo 2025 Osaka adalah platform untuk Malaysia menunjukkan nilainya sebagai rakan kongsi yang sedia masa depan, didorong inovasi dan mementingkan kemampanan.

“Pelaburan yang diperoleh melalui MITI dan MIDA mencerminkan keyakinan pelabur dalam industri hijau, pembuatan termaju dan ekonomi digital kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pencapaian ini mencerminkan kekuatan pelaburan Malaysia dan kepercayaan strategik yang diberikan kepada Malaysia oleh rakan kongsi Jepun. 

“Ketika kami mengeratkan hubungan dua hala, MIDA akan terus memainkan peranan proaktif dalam memudahkan pelaburan berkualiti tinggi yang sejajar dengan keutamaan negara dalam tenaga bersih, inovasi dan pembangunan mampan.

“Ekspo 2025 adalah lebih daripada pameran, ia merupakan satu bukti untuk cita-cita pelaburan Malaysia dan MIDA berbangga untuk mengetuainya,” ujarnya.

Sorotan utama pembukaan Pavilion Malaysia ialah pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad dan Japan Bank for International Cooperation (JBIC). 

Kerjasama itu menandakan komitmen yang lebih mendalam untuk memajukan tenaga bersih dan penyahkarbonan serantau dengan MIDA mengambil alih peranan menyokong dan memudahkan.-UTUSAN