PAFA sedia RM2 juta sertai Liga A1

Sukan

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) memperuntukkan lebih RM2 juta bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim depan, sebagai sebahagian usaha membina semula kekuatan skuad The Bos Gaurus.

Presiden PAFA, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, perancangan rapi sedang diatur termasuk menetapkan struktur gaji pemain mengikut kategori bagi mengelakkan risiko masalah kewangan berulang.

“Kita sudah buat kira-kira. Untuk Liga A1 sahaja, jumlah melebihi RM2 juta diperuntukkan bagi memastikan pasukan dapat bersaing dalam liga yang kompetitif ini.

“Namun, kita berhati-hati dalam menyusun bajet termasuk tidak menawarkan gaji melampau kepada pemain,” katanya .

Menurut Mohd Azhar, pemain akan dibahagikan kepada beberapa kategori dengan senior gred A dijangka menerima sekitar RM5,000 sebulan, manakala pemain senior gred B ditawarkan antara RM3,000 hingga RM3,500.

Bagi pemain muda, khususnya peringkat Sukan Malaysia (SUKMA) gred A, gaji sekitar RM1,700 sebulan akan ditawarkan, manakala pemain import pula diletakkan had gaji di bawah RM10,000.

Tambahnya, usaha menyertai Liga A1 juga selaras dengan misi PAFA untuk mengembalikan semula kegemilangan Perak sebagai kuasa bola sepak tanah air.

“Kita mahu bangkit semula, tetapi proses ini perlu dilakukan secara berperingkat dan juga tersusun.

“Kemasukan ke Liga A1 menjadi antara langkah awal yang penting untuk menarik semula sokongan peminat dan menaikkan semangat pasukan,” katanya.

PAFA juga dalam perancangan untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam masa terdekat bagi membincangkan sokongan kerajaan negeri terhadap hala tuju pembangunan bola sepak negeri itu.-UTUSAN