Slot suku akhir dalam tangan dua beregu lelaki negara

Sukan

PETALING JAYA: Dua slot suku akhir sudah terjamin berada dalam genggaman dua beregu lelaki negara, selepas mereka dijadualkan menghitung pertemuan sesama sendiri di peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, Indonesia, Khamis ini.

Dalam perlawanan peringkat 32 terbaik, hari ini, beregu No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani menewaskan pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 17-21, 21-17, 21-14 dalam masa 58 minit.

Pada pusingan kedua, Sze Fei-Izzuddin bakal berdepan rakan seperjuangan, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Wee Kiong yang menyingkirkan Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-17, 21-12 dalam masa 32 minit.

Dua lagi beregu Malaysia yang turut bertembung sesama sendiri di pusingan kedua adalah Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Arif Junaidi-Yap Roy King.

Juara Malaysia Masters yang juga merupakan beregu No. 7 dunia, Wei Chong-Kai Wun mengetepikan Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat 21-6, 21-11 hanya dalam masa 21 minit.

Arif-Roy King pula tidak perlu mengerah keringat untuk mara ke pusingan kedua selepas beregu Perancis Eloi Adam-Leo Rossi dari Perancis menarik diri.

Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, wakil tunggal Malaysia yang beraksi, hari ini, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien terkandas di pusingan awal selepas tunduk kepada gandingan tuan rumah, Jafar Hidayatullah-Felisha Alberta Nathaniel Pasaribu 11-21, 16-21.

Esok, 10 lagi wakil negara akan turun beraksi pada pusingan pertama dengan diketuai juara Terbuka Singapura, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang membuka aksi menentang beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard.

Beregu wanita No. 4 dunia, Pearly Tan-M. Thinaah pula dijadual berdepan Sung Shuo Yun-Yu Chien Hui dari Taiwan, manakala, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai menentang beregu Thailand, Phuwanat Horbanlurkit-Sapsiree Taerattanachai. – UTUSAN