PETALING JAYA: Revolusi Harimau Malaya yang sedang giat dilaksanakan ketika ini bukan sekadar gimik, sebaliknya satu projek jangka panjang yang berasaskan visi serta strategi jelas demi mengangkat semula martabat bola sepak negara.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Harimau Malaya, Rob Friend menegaskan sokongan padu yang diterima daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaku pemacu visi telah meletakkan asas yang kukuh untuk transformasi besar ini.
“Kami sudah tetapkan strategi dan saya berada di sini kerana percaya dengan visi yang dibawa TMJ (Tunku Mahkota Ismail) menjadikan Malaysia sebagai kuasa bola sepak yang disegani di peringkat dunia,” katanya yang dipetik laporan televisyen tempatan.
Menurut Friend, antara pendekatan utama yang sedang diusahakan termasuk memperluas pencarian bakat pemain berdarah kacukan Malaysia di luar negara.
Beliau mengakui langkah ini bukan asing dalam landskap bola sepak moden, bahkan turut diamalkan oleh banyak negara lain.
“Kita perlukan pemain yang bermain di tahap tertinggi. Tetapi dalam masa yang sama, pembangunan pemain tempatan dan liga tempatan tetap menjadi keutamaan,” ujarnya.
Beberapa nama besar dalam pengurusan Harimau Malaya seperti Hairuddin Omar, Nafuzi Zain, Aidil Zafuan, Tan Cheng Hoe dan Stanley Bernard turut dibawa masuk untuk memperkukuh struktur kejurulatihan dan pengurusan pasukan.
“Kita satukan pemain legenda, jurulatih berpengalaman, eksekutif komersial serta tenaga luar seperti Cklamovski dan saya sendiri, untuk membina sesuatu yang mampan,” tambahnya.
Friend turut memberi bayangan bahawa lebih ramai pemain berdarah Malaysia dari luar negara bakal diserap ke dalam pasukan selepas proses dokumentasi bersama FIFA selesai, namun enggan mengulas lanjut kerana masih belum rasmi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sasaran sebenar Harimau Malaya bukan semata-mata kejayaan dalam satu perlawanan atau kejohanan, tetapi pembinaan sistem jangka panjang yang akan memberi manfaat berpanjangan kepada bola sepak negara.
“Biarpun kami mahu menang menentang Vietnam, tetapi hakikatnya ini adalah projek lima tahun. Kita tidak boleh ubah pasukan kebangsaan seperti kelab yang boleh beli pemain dan tukar skuad setiap musim,” katanya.
Menjelang aksi penting menentang Vietnam yang boleh menjadi penentu awal kepada misi kelayakan Piala Asia 2027, Friend berharap rakyat Malaysia kekal memberikan kepercayaan dan bersatu menyokong Harimau Malaya dalam era baharu ini.-UTUSAN