PETALING JAYA: Beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu mempamerkan aksi konsisten sekiranya memasang impian untuk bergelar pasangan No.1 dunia.
Bekas pemain negara, Ismail Saman berkata, berdasarkan situasi semasa Aaron-Wooi Yik mampu memintas beregu No. 1 dunia yang kini milik Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Keyakinan itu berdasarkan kejayaan pasangan No. 3 dunia itu muncul juara di Terbuka Thailand dan Terbuka Singapura selain bergelar naib juara di Malaysia Masters.
Bagaimanapun, Ismail yang kini membimbing Kelab Badminton Petaling United berkata, untuk merealisasikan misi tersebut, Aaron-Wooi Yik perlu sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir dalam setiap kejohanan yang disertai mereka.
“Setiap kejohanan perlu konsisten dan baru-baru ni Aaron-Wooi Yik menunjukkan prestasi konsisten di Thailand, Malaysia dan Singapura berbanding Sze Fei-Izzuddin.
“Jadi, kalau mereka nak rampas gelaran No. 1 dunia mereka kena konsisten dengan sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir dalam kejohanan yang mereka sertai.
“Kena tengok pada kejohanan yang mereka sertai, kalau Super Series 500 mereka kena layak ke separuh akhir tetapi kalau di Super Series 750 atau 1000 suku akhir sudah memadai. Itu penanda arasnya jika nak cabar kedudukan No. 1 dunia,” katanya.
Ketika ditanya tempoh masa yang diperlukan oleh Aaron-Wooi Yik untuk merampas kedudukan tersebut, Ismail berkata mereka tidak perlu mengambil masa yang lama.
“Kalau mereka layak ke separuh akhir dalam satu lagi kejohanan dan pada masa Sze Fei-Izzuddin pula tidak konsisten, Aaron-Wooi Yik boleh potong mereka,” katanya.
Ketika ini, Aaron-Wooi Yik kini berada di ranking ke-3 dunia dengan 89,870 mata, dibezakan 541 mata dengan Kim Astrup-Anders Rasmussen di tangga kedua.
Izzuddin-Sze Fei pula masih berada di ranking pertama dunia dengan 91,090 mata, tidak berapa jauh di hadapan Aaron Chia-Wooi Yik.-UTUSAN