Tunku Mahkota Ismail kota janji, bawa pemain warisan gred A

Sukan

PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengotakan janji dalam revolusi Harimau Malaya apabila berjaya membawa pemain warisan gred A memperkuatkan skuad kebangsaan.

Terdahulu, pada Mac lalu Tunku Mahkota Ismail menerusi satu kenyataan berkata, skuad Harimau Malaya bakal menerima suntikan kekuatan baharu apabila tujuh pemain warisan akan menyertai pasukan dalam masa terdekat,

Hari ini, Malaysia NT dalam satu kenyataan berkata dengan sukacitanya mengumumkan empat pemain terbaru iaitu, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado secara rasmi menyertai skuad senior Harimau Malaya.

“Kesemua empat pemain ini telah pun beberapa hari menjalani sesi latihan bersama pasukan dan menunjukkan prestasi yang cukup membanggakan.

“Mereka sebagai pemain yang berkualiti, cukup bersedia untuk memperkukuh skuad negara demi merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia,” kata Malaysia NT.

Sementara itu, pemain warisan Argentina-Malaysia, Machuca bersedia memberi persembahan terbaik buat skuad Harimau Malaya dan akui ia adalah satu penghormatan dapat mewakili Malaysia.

“Sejak saya tiba di kem latihan negara, Malaysia telah memberikan yang terbaik untuk saya.

“Saya dapat merasakan ia sesuatu yang amat istimewa untuk mewakili pasukan Harimau Malaya dan ia adalah satu penghormatan, dan saya akan berikan segalanya,” kata Machuca.

Berdasarkan semakan menerusi laman Transfermarkt, nilai pasaran pemain itu adalah bernilai RM12 juta dan pemain ini sudah mencetak 16 gol dan melakar sembilan bantuan gol dalam aksi selama 8,409 minit.-UTUSAN