Dua wakil Perak bakal sertai Liga A1

Sukan

IPOH: Negeri Perak bakal mempunyai dua pasukan beraksi dalam Liga Semi-Pro A1 musim 2025/2026 selepas Persatuan Bola Sepak Perak (Perak FA) mengesahkan penyertaannya.

Sebuah lagi pasukan ialah Manjung City FC (MCFC) yang lebih awal telah mengumumkan penglibatannya dalam liga tersebut.

Perak FA hari ini mengesahkan penyertaan dan dilihat oleh penyokong sebagai pengganti Perak FC yang menarik diri daripada saingan Liga Super 2025/2026 akibat tekanan kewangan.

Keputusan Perak FA itu diumumkan oleh Presidennya, Datuk Mohd. Azhar Jamaluddin selepas mengadakan pertemuan dan dilihat mendapat ‘restu’ daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad semalam.

“Perak FA hari ini mengesahkan penyertaan rasmi dalam Liga Ai Semi Pro sebagai langkah penting dalam fasa kebangkitan , pemulihan dan pembangunan semula bola sepak negeri yang berdaya saing dan mampan,” katanya.

Menurut Perak FA, Saarani menyatakan sokongan terhadap usaha Perak FA untuk kembali membina kekuatan dari bawah dan memberi peluang kepada bakat anak muda negeri untuk menyerlah di pentas lebih tinggi.

Perak FA selama ini memegang sejarah 100 tahun bola sepak negeri itu sebelum penswastaan Liga Super bermula dengan nama ditukar kepada Perak FC serta dikendalikan oleh entiti swasta.

Sementara itu, MCFC yang berpusat di pantai barat Perak dijangka meneruskan saingan Liga A1 setelah mula beraksi dalam liga amatur dan semi-pro itu sejak 2020.

Setiausaha Kehormatnya, Issamudin Ibrahim berkata, pasukan tersebut mengambil sikap sangat terbuka untuk membuka peluang kepada bekas pemain-pemain Perak FC namun tetap melihat isu kewangan akan menjadi antara kekangan.

“MCFC sentiasa terbuka menerima mana-mana pemain yang berminat menabur bakti bersama MCFC. Kita juga berharap lebih ramai anak jati Perak untuk bersama dengan MCFC pada musim baru nanti,” katanya. – UTUSAN