Dua beregu campuran tempah slot suku akhir

Sukan

PETALING JAYA: Kem badminton negara terus garang di pentas Terbuka Indonesia apabila dua wakil beregu campuran negara mara ke suku akhir hari ini.

Gandingan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai membuka langkah ke kelompok lapan terbaik selepas menumbangkan pasangan tuan rumah, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah 21-12, 21-17 dalam masa 33 minit.

Beregu No.5 dunia itu bakal berdepan cabaran getir menentang pilihan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran esok.

Sementara itu, pasangan No.4 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak berdepan masalah menyingkirkan wakil Denmark, Mads Vestergaard-Christine Busch 21-9, 21-12 di Istora Senayan.

Kemenangan itu menyaksikan mereka bakal berentap sesama Denmark apabila dijadual menentang pilihan kelima kejohanan, Jesper Toft-Amalie Magelund di suku akhir.

Menariknya, kedua-dua beregu negara itu tersingkir seawal pusingan pertama dalam edisi tahun lalu, namun kali ini tampil lebih matang dan berkeyakinan tinggi. – UTUSAN