UMNO belum bincang isu Tengku Zafrul

Politik

SHAH ALAM: UMNO belum mengadakan perbincangan berhubung keputusan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang meninggalkan parti itu.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan Ahli Majlis Kerja Tertingginya, Datuk Seri Ahmad Maslan selepas Tengku Zafrul meletak jawatan sebagai Ahli MKT UMNO, Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan keahliannya pada 30 Mei lalu.

“Belum (bincang). Saya doakan Tengku Zafrul dianugerahkan haji yang mabrur,” katanya ringkas pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Tengku Zafrul mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam UMNO bagi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas mempertimbangkan pelbagai perkara dan mendapat pandangan beberapa ahli politik termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Namun, Pemuda UMNO Selangor menyifatkan tindakan keluar daripada parti itu hanya mementingkan diri sendiri setelah diberikan pelbagai jawatan.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin menegaskan penyertaan dalam parti tidak boleh dijadikan sebagai tempat mencari kerja dan bukannya seperti organisasi korporat. – UTUSAN