Johor Port labur RM72.3 juta dalam kren baharu

Perniagaan

PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), anak syarikat Kumpulan MMC, memperkukuh infrastruktur operasinya melalui pelaburan berjumlah RM72.3 juta bagi pemerolehan empat unit kren jenis Level Luffing berteknologi tinggi.

Kren berkenaan akan dipasang di Terminal Konvensional Johor Port dan dijangka meningkatkan produktiviti operasi di jeti selain mempercepatkan masa pusingan kapal serta menawarkan pengalaman pengendalian kargo yang lebih cekap dan lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir berkata, pelaburan tersebut mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat.

“Kami memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti, penambahbaikan kecekapan operasi serta pengukuhan kedudukan Johor Port sebagai pelabuhan pilihan di Wilayah Selatan.

“Segala yang kami lakukan bermula dan berakhir dengan mengambil kira keperluan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata, Johor Port memainkan peranan penting dalam memudahcara perdagangan dan menyokong pertumbuhan industri serantau.

“Penambahbaikan ini membolehkan kami menawarkan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan sedia ada, selain menarik pelanggan baharu melalui sistem pengendalian kargo yang pantas serta ekosistem pelabuhan yang moden dan bersepadu,” ujarnya. 

Sebagai pelabuhan pelbagai guna yang mampu mengendalikan kargo kontena, pukal, pukal cerai dan cecair, Johor Port terus melaksanakan inisiatif perbelanjaan modal strategik dalam usaha memperkukuh keupayaan serta infrastrukturnya.

Pemerolehan kren Level Luffing ini juga merupakan sebahagian daripada Pelan Penambahbaikan Perbelanjaan Modal bernilai RM1 bilion untuk memodenkan kemudahan sedia ada dan menyokong pertumbuhan jangka panjang.

Pelan lima tahun Johor Port turut merangkumi pelaksanaan sistem Pengoperasian Terminal (TOS) baharu dengan integrasi sistem pengawasan kamera litar tertutup (CCTV), selain pemerolehan peralatan seperti kren dermaga kontena (QCs), kren gantri beroda getah (RTGs), penyusun kontena (CRS) dan traktor terminal.

Antara lain, inisiatif itu turut melibatkan peningkatan kapasiti Terminal Kontena, penggantian sistem pengangkut tali sawat dan corong pengangkut, pembinaan jeti cecair baharu, pengubahsuaian dermaga kargo pukal dan kargo pukal cerai serta pembangunan bangunan baharu Pemeriksaan Eksport Kastam termasuk naik taraf jalan sedia ada.

Dalam pada itu, sebagai pelabuhan utama di kawasan pedalaman yang disokong oleh pelabuhan, Johor Port lebih tertumpu kepada memenuhi keperluan pengimport dan pengeksport tempatan berbanding aktiviti transshipment.

Pendekatan strategik ini membolehkan Johor Port menawarkan perkhidmatan khusus yang menyokong pertumbuhan ekonomi serantau serta aktiviti perindustrian di Johor dan kawasan sekitarnya.-UTUSAN