Sze Fei-Izzuddin bergelut sebelum mara

Sukan

KUALA LUMPUR: Gandingan No.1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terpaksa bekerja keras sebelum menempah slot ke suku akhir Terbuka Indonesia 2025, malam tadi.

Aksi sesama wakil negara di Istora Senayan, Jakarta menyaksikan mereka dipaksa bermain tiga set 21-14, 16-21, 21-14 oleh Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dalam pertarungan yang cukup mendebarkan.

Perlawanan selama 54 minit itu akhirnya dimenangi Sze Fei-Izzuddin yang tampil lebih tenang di mata-mata akhir untuk melakar kemenangan penting.

Mereka bakal berdepan tentangan hebat hari ini apabila turun menentang beregu pilihan tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani di depan ribuan penyokong Indonesia.

Dalam saingan beregu wanita, pasangan muda Ong Xin Yee-Carmen Ting terpaksa akur dengan kehebatan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi yang menang straight set.

Kekalahan 15-21, 16-21 itu memberi laluan kepada pasangan Jepun tersebut untuk membuat perhitungan getir dengan beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah pada suku akhir.

Sementara itu, cabaran Leong Jun Hao dalam acara perseorangan lelaki berakhir lebih awal selepas tewas kepada pemain China, Li Shi Feng dalam masa 54 minit.

Perlawanan itu menyaksikan Jun Hao cuba bangkit di penghujung set namun tidak cukup ampuh untuk menghalang lawan yang tampil lebih konsisten sepanjang aksi. – UTUSAN