Kenapa hendak tinggalkan kehidupan terbaik saya – KJ

Politik

PUTRAJAYA: Kehidupan di luar kancah politik disifatkan sebagai yang terbaik oleh bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sekali gus menepis desas-desus mengenai penyertaan semulanya ke dalam Kabinet.

Khairy berkata, beliau kini menjalani kehidupannya dengan baik iaitu sebagai penyampai radio dan hos audio siar (podcast).

Beliau kekal memilih untuk tidak menjawab persoalan mengenai kemungkinan penyertaannya ke dalam Jemaah Menteri yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Saya sedang menjalani kehidupan yang terbaik, mengapa pula saya hendak tinggalkan ini?,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Khairy hadir bagi merasmikan pelancaran produk baharu Tealive iaitu serbuk minuman 3 dalam 1 di IOI City Mall.

Khabar angin mendakwa, Khairy yang juga bekas Menteri Kesihatan akan menyertai Kabinet selepas pengunduran Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad minggu lalu.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu dijangka dilantik sebagai ahli Dewan Negara dan seterusnya mengisi portfolio Menteri Perladangan dan Komodi menggantikan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang dikatakan bakal mengetuai Kementerian Ekonomi.

Selain itu, Khairy yang mesra disapa KJ turut dikhabarkan akan menyertai UMNO semula selepas lebih dua tahun dipecat daripada parti.

Dalam pada itu, Khairy enggan mengulas mengenai usaha bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menubuhkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan kumpulan masyarakat di bawah satu ‘payung besar’.

“Saya bukan ahli Perikatan Nasional (PN) mahupun ahli UMNO buat masa ini, jadi saya tidak mahu komen tentang ini. Kita fokus tentang pelancaran ini sahaja,” katanya.

KJ dipecat daripada UMNO pada 27 Januari 2023 selepas diputuskan Majlis Tertinggi. – UTUSAN