PETALING JAYA: Penubuhan ‘payung besar’ orang Melayu dilihat sukar bertahan dan berpotensi menghadapi nasib sama seperti kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang akhirnya berpecah.
Bekas Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencari formula baharu yang mampu membina kesatuan orang Melayu kekal dan kukuh.
Katanya, perjuangan orang Melayu tidak boleh hanya berteraskan politik semata-mata, sebaliknya perlu tertumpu pada aspek ekonomi dan pendidikan bagi mencapai matlamat sebenar.
“Apakah matlamat sebenar payung besar ini? Adakah semata-mata untuk kepentingan politik dan meraih kuasa? Bagaimana jika berlaku perbezaan pendapat, adakah akan berulang perpecahan seperti MN? Ini perlu diperhalusi supaya asas perjuangan jelas dan matlamat dapat dicapai,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Dr. Mahathir menubuhkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menyatukan bangsa majoriti itu di bawah satu payung besar sebagai usaha mengembalikan kekuatan politik dan mempertahankan kedudukan Melayu di negara ini.
Inisiatif itu sebagai langkah untuk mengembalikan kekuatan politik dan mempertahankan kedudukan orang Melayu di negara ini.
Menurut beliau, penubuhan gerakan ini tercetus daripada kesedaran mendalam terhadap pelbagai masalah yang sedang membelenggu masyarakat Melayu, yang didakwa tidak lagi mendapat pembelaan sewajarnya dalam sistem pentadbiran negara hari ini.
Sementara itu, Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, perpaduan Melayu bukan mudah terutama jika bertopengkan politik dan demokrasi. – UTUSAN