PETALING JAYA: Cara Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz meninggalkan UMNO lebih baik daripada tindakan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkash berkata, akar umbi tidak marah sekiranya seseorang pemimpin yang tidak setia keluar daripada parti tetapi amat marah jika pemimpin seperti itu tidak keluar dan seterusnya dipecat.
Katanya, Tengku Zafrul memilih keluar secara terbuka sementara Annuar pula enggan berundur tetapi mahu menjadi ‘duri dalam daging’.
“Dia mahu tikam UMNO dari dalam dan jadi ejen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Akar umbi UMNO tepuk tangan bila dia dipecat.
“Annuar yang marah bila dipecat, sampai masuk Pas. Jilat balik apa dia cerca pasal Pas,” katanya menerusi hantaran di platform Facebook, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Annuar bahawa tindakan Tengku Zafrul keluar parti sudah dirancang, memandangkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berterima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana tidak memarahinya.
Terdahulu, Tengku Zafrul mengumumkan peletakan semua jawatan dalam UMNO dan menyatakan hasrat menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR). – UTUSAN