PETALING JAYA: Hasrat untuk menyaksikan satu-satunya wakil negara, S. Sivasangari mara ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka Britain tidak kesampaian, selepas dia tunduk kepada bintang remaja Mesir, Amina Orfi, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Pemain yang menghuni ranking No. 9 dunia itu tewas dalam permainan empat set kepada bekas juara remaja dunia yang kini merupakan bintang No. 5 dunia 2-11, 11-4, 7-11, 9-11 dalam masa 59 minit di Birmingham, England.
Walaupun terkandas, kejayaan melangkah sehingga ke suku akhir pada kejohanan berstatus ‘Diamond’ itu bakal menyaksikan Sivasangari kembali melonjak ke ranking No. 8 dunia, minggu depan.
Menerusi perkongsian Sivasangari dalam Insta Story, anak jati Sungai Petani, Kedah itu melahirkan rasa hampanya kerana gagal meraih kemenangan pada pertemuan tersebut.
“Kecewa kerana tak dapat kemenangan malam tadi (awal pagi waktu Malaysia), sudah beri segala-galanya, ada peluang tetapi masih tidak berjaya, sedih bila apa yang diusahakan gagal memberikan kemenangan,” katanya.
Pemain berusia 26 tahun itu merupakan sandaran Malaysia bagi meraih pingat pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA 2028), Amerika Syarikat.
Sivasangari bersama-sama rakan senegara, Ng Eain Yow berada di dalam program Fast Track Road To Gold, selepas skuasy buat julung kali disenaraikan sebagai acara yang dipertandingkan pada LA 2028.
Dia dan Eain Yow kini menjalani latihan di luar negara selepas masing-masing memilih Amerika Syarikat, manakala, Sivasangari mendapatkan bimbingan di bawah bekas bintang No. 1 dunia, Gregory Gaultier di Prague, Republik Czech.
Selepas Terbuka Britain, Sivasangari dijangka pulang ke tanah air bagi menyertai Kejohanan Skuasy Individu Asia bermula 17-21 Jun ini di Kuching, Sarawak.
Bintang skuasy No. 1 Malaysia itu belum pernah merangkul gelaran pada Kejohanan Asia, selepas tumpas kepada pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk pada perlawanan akhir di Hong Kong, dua tahun lalu. – UTUSAN