Undur sebagai presiden, tunggu kenyataan Tok Guru-Ahli Parlimen Bachok

Politik

BACHOK: Ahli Parlimen Bachok Mohd. Syahir Che Sulaiman mengambil pendekatan mengunci mulut semasa diminta mengulas khabar angin Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang akan melepaskan jawatan sebagai pemimpin No.1 parti itu pada Muktamar kali ke-71 pada September ini.

Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun berkata, perkara tersebut hanya boleh disahkan sendiri oleh Tok Guru (Abdul Hadi).

“Soal undur tau tidak kena tunggu Tok Guru sendiri buka mulut dan mengesahkan berita tersebut yang dikatakan datang daripada sumber.

“Apa yang saya bolehkan, ‘retreat’ itu memang berlangsung di Kuala Terengganu bagi membincangkan hala tuju parti,” katanya semasa ditemui pemberita pada Sambutan Penghayatan Hari Wukuf Parlimen Bachok di sini hari ini.

Media semalam melaporkan, Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan. 

Difahamkan, Ahli Parlimen Marang itu menyampaikan hasrat itu kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu retreat parti pada hujung minggu lalu yang diadakan di Terengganu.

Mengulas lanjut, Mohd. Syahir memberitahu, beliau menyerahkan perkara tersebut kepada seluruh perwakilan untuk membuat keputusan berkaitan soal kepimpinan pada muktamar itu nanti.

“Saya bagi contoh semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, Tok Guru menyatakan hasrat untuk tidak bertanding di Parlimen Marang. 

“Namun parti putuskan supaya bertanding, samalah isu sekarang… jadi terserah kepada perwakilan untuk membuat keputusan,” ujarnya.-UTUSAN