Nasib berbeza buat beregu campuran negara

Sukan

PETALING JAYA: Beregu campuran negara meraih keputusan berbeza apabila hanya Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia 2025, hari ini.

Pasangan pilihan kedua itu memperagakan kebangkitan bermutu tinggi selepas tewas set pertama untuk menewaskan Jesper Toft-Amalie Magelund dari Denmark 17-21, 21-16, 21-14.

Kemenangan dalam tempoh 54 minit itu juga menyaksikan Tang Jie-Ee Wei mencatat pencapaian terbaik mereka di kejohanan bertaraf Super 1,000 tersebut.

Sebaliknya, nasib berbeza menimpa Goh Soon Huat-Shevon Lai apabila mereka tumbang kepada pilihan utama Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 16-21, 12-21.

Kekalahan itu juga merupakan yang kedua berturut-turut dialami pasangan profesional negara itu kepada gandingan sama selepas aksi Terbuka Singapura minggu lalu.

Dechapol-Supissara kini menjadi penghalang kepada Tang Jie-Ee Wei untuk melangkah ke final dan terus melebarkan sejarah buat beregu campuran negara.

Untuk rekod, Malaysia belum pernah menjuarai kategori beregu campuran dalam sejarah penganjuran Terbuka Indonesia sejak 1982.

Malaysia masih memburu gelaran sulung dalam beregu campuran Terbuka Indonesia dan Tang Jie-Ee Wei kini berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau itu. – UTUSAN