SHAH ALAM: Cadangan Ketua Penerangan Pas agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti berikutan satu perbicaraan saman sivil yang difailkan terhadap beliau adalah bermotifkan politik semata-mata.
Ketua Angkatan Muda Keadilan Klang, Mohd. Shahrul Adnan berkata, cadangan tersebut tidak berasaskan fakta kerana kes yang dihadapi Anwar merupakan kes sivil, bukan pendakwaan jenayah.
“Dalam kes ini, tiada asas undang-undang yang mewajibkan atau menyokong gesaan supaya Anwar bercuti.
“Perdana Menteri tidak menghadapi sebarang pertuduhan jenayah dan beliau kekal menjalankan tugas dengan penuh komitmen serta integriti,” katanya.
Semalam Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari menegaskan bahawa Anwar wajib mengambil cuti sementara daripada menjalankan tugas rasmi menjelang prosiding saman sivil oleh Muhammad Yusoff Rawther yang dijadual bermula pada 16 Jun ini.
Mohd. Shahrul berkata, adalah penting untuk memahami perbezaan antara saman sivil oleh individu dan kes jenayah yang dibawa oleh pendakwa raya.
“Cadangan seperti ini bukan sahaja mencerminkan kefahaman undang-undang yang lemah, malah memperlihatkan kecenderungan Pas untuk terus mempolitikkan segala perkara termasuk urusan mahkamah.
“Semua pihak khususnya Pas harus menghormati proses perundangan yang sedang berjalan dan tidak mencampuradukkan urusan mahkamah dengan percaturan politik jangka pendek,” ujarnya. – UTUSAN