PETALING JAYA: Dua beregu negara, Pearly Tan-M. Thinaah dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengesahkan slot separuh akhir menjadi milik mereka selepas membenam lawan masing-masing di peringkat lapan terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Istora, Senayan, Jakarta, Indonesia, hari ini.
Bagi beregu wanita No. 1 Malaysia, Pearly-Thinaah kejayaan menjejakkan kaki ke separuh akhir pada kejohanan berstatus Super 1,000 itu merupakan pencapaian terbaik mereka mengatasi penampilan tahun lalu setelah terkandas di suku akhir.
Pasangan No. 4 dunia itu melakar kemenangan straight set ke atas beregu No. 5 dunia, Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun 21-6, 21-18 dalam masa 37 minit.
Pada separuh akhir, esok, Pearly-Thinaah bakal berdepan pasangan China, Li Yi Jing-Luo Xu Min yang menghuni ranking No. 6 dunia.
Thinaah berkata, penting untuk dia dan Pearly saling membantu dan menyusun strategi bagi mendapatkan rentak permainan yang baik.
“Kami cuma fokus kepada strategi kami dan perancangan yang telah diatur, selepas ini, saya hanya mahu berehat secukupnya dan bersedia untuk perlawanan esok pula,” katanya ketika ditemu bual oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan tamat.
Pearly pula berkata, dia banyak belajar untuk kekal tenang terutama ketika bermain dalam situasi tertekan dan cuba beraksi dengan lebih yakin.
Sementara itu, bagi beregu lelaki No. 7 dunia, Wei Chong-Kai Wun, mereka berada di landasan terbaik untuk mengulangi pencapaian tahun lepas mara sehingga ke perlawanan akhir.
Pada suku akhir, hari ini, Wei Chong-Kai Wun akhirnya berjaya mencipta kemenangan ke atas bekas beregu No. 1 dunia, Saiwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dari India 21-19, 21-16 dalam masa 43 minit.
Kemenangan itu merupakan kejayaan sulung pasangan Malaysia tersebut ke atas Rankireddy-Shetty yang memegang rekod pertemuan 4-1.
Dalam aksi separuh akhir, esok, Wei Chong-Kai Wun akan berdepan gandingan tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Wei Chong ketika ditemu bual BWF berkata, berdepan beregu Rankireddy-Shetty tidak mudah kerana gandingan India itu terkenal dengan permainan yang laju.
“Kami hanya fokus kepada perancangan permainan kami dan juga strategi yang telah dicatur, memandangkan keadaan gelanggang yang berangin, kami perlu berhati-hati untuk tidak melakukan pukulan yang terlalu tinggi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai prestasi yang semakin meningkat naik, Kai Wun pula dalam nada merendah diri berkata, setakat ini semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah. – UTUSAN