Desakan PM berundur gugat kestabilan negara

Politik

KANGAR:  Desakan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti atau meletak jawatan susulan kes saman sivil yang sedang berjalan disifatkan sebagai tindakan pramatang dan tidak bertanggungjawab, yang berisiko menjejaskan kestabilan negara serta keyakinan pelabur.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perlis, Ahmad Azzin Izzad Bahanudin, menegaskan bahawa pihaknya menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk menggugat kedudukan Perdana Menteri menerusi tekanan politik yang berasaskan kepada dakwaan semata-mata.

“Desakan ini bukan sahaja tidak berasas, malah memperlihatkan niat jahat pihak tertentu untuk menjejaskan tumpuan kerajaan dalam meneruskan agenda reformasi dan pembangunan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Sebelum ini, Pemuda Perikatan Nasional (PN) mendesak agar Perdana Menteri mengambil cuti sementara susulan kes saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidik beliau, Muhammed Yusof Rawther atas dakwaan serangan seksual tujuh tahun lalu.-UTUSAN