PUTRAJAYA: Malaysia sedia untuk memberi kerjasama bagi membantu rundingan sempadan antara Thailand dan Kemboja pada 14 Jun ini bagi membantu kedua-dua negara itu mencapai persefahaman dan menoktahkan konflik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sudah maklumkan hasratnya itu kepada Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menerusi panggilan telefon semalam.
“Saya (telah) bercakap dengan kedua-dua Perdana Menteri (Kemboja dan Thailand), mereka telah mengambil beberapa langkah dan kita sokong iaitu rundingan pada 14 Jun (ini), mengenai sempadan (antara dua negara tersebut).
“Saya sedia mengikuti dan kerjasama apa yang perlu tetapi setakat ini, kedua-dua kerajaan mengambil sikap meneruskan rundingan secara baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Masjid Putra, di sini.
Anwar hadir bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bagi menunaikan solat sunat Aidiladha bersama kira-kira 15,000 jemaah
Pada 28 Mei lalu, tentera Thailand dan Kemboja terlibat dalam pertempuran di wilayah Ubon Ratchathani, Thailand dan wilayah Preah Vihear, Kemboja sehingga mengakibatkan kematian seorang askar Kemboja.
Susulan daripada peristiwa itu, Kemboja dilaporkan akan mengemukakan aduan kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), untuk menyelesaikan isu yang sekian lama berlarutan.
Sementara itu, Thailand pula dilaporkan sudah menyatakan komitmennya semula untuk menyelesaikan isu dengan Kemboja secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, serta perjanjian dan memorandum sedia ada.
Oleh itu, kedua-dua negara sudah bersetuju untuk membincangkan itu yang terbangkit melalui Suruhanjaya Sempadan Bersama yang dijadualkan berlangsung di Phnom Penh pada 14 Jun.-UTUSAN