PARIS: Itali hanya boleh menyalahkan diri mereka sendiri susulan kekalahan 3-0 kepada Norway dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 semalam manakala Belgium terikat 1-1 menentang Macedonia Utara.
Alexander Sorloth, Antonio Nusa dan Erling Haaland masing-masing meledak gol pada separuh masa pertama dalam hujan lebat di Oslo, sekali gus menghadiahkan malam malang buat skuad Azzurri yang sebelum ini gagal layak ke dua edisi terakhir Piala Dunia.
“Saya tiada penjelasan. Penyokong kami tidak layak menerima aksi seperti ini. Kami perlu muhasabah diri. Ia tidak boleh diterima,” kata kapten dan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma.
Itali kini dalam misi mengejar pendahulu Kumpulan I, Norway, yang meraih sembilan mata maksimum selepas mencatat kemenangan ke atas Moldova dan Israel pada Mac lalu, ketika Itali masih terlibat dalam saingan Liga Negara-Negara.
Belgium pula memulakan kempen Kumpulan J mereka dengan keputusan seri 1-1 menentang Macedonia Utara.
Maxim De Cuyper meletakkan Belgium di hadapan selepas percubaan Romelu Lukaku disekat, namun bekas pemain Leeds, Ezgjan Alioski menyamakan kedudukan menerusi sepakan voli empat minit sebelum tamat perlawanan di Skopje.
Macedonia Utara kekal tanpa kalah selepas tiga perlawanan, tetapi masih di belakang Wales yang kini mendahului kumpulan dengan tujuh mata selepas membelasah Liechtenstein 3-0 di Cardiff. – AFP