PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah melakar sejarah dalam karier mereka apabila buat kali pertama mara ke perlawanan akhir Terbuka Indonesia yang merupakan kejohanan badminton berstatus Super 1,000 di Jakarta, Indonesia, hari ini.
Gandingan No. 4 dunia itu menyingkirkan pasangan No. 6 dunia, Li Yi Jing-Luo Xu Min 12-21, 21-17, 21-11 dalam masa 1 jam 4 minit.
Pada perlawanan akhir, esok, Pearly-Thinaah bakal berdepan satu lagi beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning selepas gandingan No. 1 dunia itu menewaskan pasangan No. 3 dunia dari Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee So Hee 21-19, 21-18 dalam satu lagi separuh akhir.
Thinaah yang teruja dengan kejayaan tersebut melahirkan rasa gembiranya kerana berjaya mara sejauh itu pada kejohanan berprestij tersebut.
“Sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya kami hari ini. Kami saling memberikan sokongan sewaktu ketinggalan tadi, kami enggan menyerah dengan begitu mudah,” katanya ketika di temu bual oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas perlawanan berakhir.
Ketika ditanya mengenai prestasi Pearly yang bermain baik, kata Thinaah, dia berterima kasih di atas pukulan ‘smash’ yang berjaya disempurnakan dengan baik oleh pasangannya itu.
“Hari ini kerjasama kami menjadi titik tolak kepada kejayaan kami kerana ia menjadi strategi terbaik terutama bagaimana mengawal mental dan fizikal, jadi, saya sangat berterima kasih kerana Pearly sentiasa berada di sisi,” kata anak jati Klang, Selangor itu.
Pemain berusia 27 tahun itu juga amat berharap, dalam perlawanan akhir, esok, mereka dapat beraksi dengan fikiran yang lebih tenang.
Sementara itu, mengulas sewaktu ketinggalan selepas tumpas dalam set pertama, Pearly pula berkata, dia dan Thinaah saling mengingatkan antara satu sama lain amat penting untuk mereka kekal bersabar.
“Kami tidak mahu menyerah kalah dan penting untuk kami menikmati permainan tidak kira keputusan menang ataupun sebaliknya,” katanya. – UTUSAN