Wei Chong-Kai Wun terkandas di separuh akhir

Sukan

PETALING JAYA: Hasrat beregu lelaki Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk mengulangi pencapaian tahun lalu tidak kesampaian selepas mereka tewas kepada gandingan tuan rumah, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani pada separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Jakarta, Indonesia, hari ini.

Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking No. 7 dunia itu kalah kepada Sabar-Moh Reza dalam aksi yang berlanjutan sehingga ke rubber set 18-21, 21-12, 18-21 dalam masa 60 minit di Istora Senayan.

Sabar-Moh Reza merupakan pencabar Wei Chong-Kai Wun pada separuh akhir edisi lalu yang menyaksikan beregu lelaki No. 3 negara itu berjaya menewaskan gandingan profesional tersebut untuk mara ke perlawanan akhir

Namun, kali ini situasinya berbeza apabila Sabar-Moh Reza berjaya menebus kehampaan mereka untuk menempah slot final, esok bertemu sama ada rakan senegara, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto ataupun Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan.

Kerap melakukan kesilapan sewaktu permainan berlanjutan sehingga set penentuan, telah membuka laluan mudah kepada beregu tuan rumah untuk melancarkan serangan mengutip mata demi mata.

Ketinggalan jauh 1-7 menyukarkan misi Wei Chong-Kai Wun bangkit, walaupun mereka berusaha keras mengejar kembali, tetapi, ia tidak mencukupi untuk menyekat Sabar-Moh Reza meraih kemenangan.

Kegagalan Wei Chong-Kai Wun itu turut menyaksikan Malaysia hanya memiliki satu wakil di pentas akhir iaitu menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah yang akan menentang beregu No. 1 dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China. – UTUSAN