Payung UMNO lebih besar bela Melayu, bumiputera

Politik

PONTIAN: UMNO tidak pernah meninggalkan perjuangan membela nasib Melayu dan bumiputera meskipun bekerjasama dengan 18 parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, perjuangan itu kekal utuh sejak penubuhan parti dan termaktub jelas dalam asas serta tujuan perlembagaan UMNO.

Katanya, UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan orang Melayu sejak penubuhannya sehingga sekarang.

“Dengan siapa pun kita memerintah, kita tidak pernah meninggalkan perjuangan berkenaan. Sebab perkara itu termaktub dalam perlembagaan UMNO,” katanya selepas Majlis Korban anjuran UMNO Bahagian Pontian di Kampung Parit Stan Benut, hari ini.

Beliau mengulas inisiatif terbaharu bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu menghimpunkan orang Melayu di bawah satu `payung besar’ melalui Sekretariat Orang Melayu.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu turut menegaskan, walaupun UMNO kini bersama Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Perpaduan, perjuangan untuk membantu Melayu dan bumiputera tetap diteruskan.

“Di Malaysia ini, dianggarkan bumiputera seramai 70.1 peratus, Cina 22.6 peratus, India 6.6, peratus dan lain-lain 0.7 peratus.

“Perjuangan UMNO dalam mukadimah asas dan tujuan menyebut tentang Melayu bumiputera termasuk di Sabah, Sarawak dan Orang Asli,” katanya.

Tambah beliau, UMNO melihat kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan sebagai satu kelebihan untuk terus memperjuangkan kepentingan Melayu dan bumiputera secara lebih menyeluruh.

“UMNO ini bukan hanya perjuangan utamanya untuk Melayu bumiputera, pada masa yang sama kita juga berjuang untuk kaum-kaum lain.

“UMNO tidak pernah berhenti berjuang sejak dahulu hingga sekarang. Walau siapa pun kita bersama dalam kerajaan, perjuangan itu tidak pernah kita tinggalkan,” katanya.

Mengulas tindakan Dr. Mahathir kembali membawa agenda Melayu menerusi Sekretariat Orang Melayu, Ahmad menyifatkannya sebagai sementara.

“Dulu Tun buat gagasan Melayu, tapi tidak lama. Ia hanya bertujuan politik. Payung kita lebih besar. Kita dalam Kerajaan Perpaduan ada 18 parti. Payung besar ini memayungi lebih ramai, termasuk bumiputera di Sabah, Sarawak, orang Asli dan seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Ahmad turut menekankan komitmen kerajaan dalam memartabatkan ekonomi bumiputera melalui pelaksanaan Kongres Ekonomi Bumiputera.

“Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kemudian ulang tahun KEB baru-baru ini, dirasmikan Timbalan Perdana Menter,i Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merangkap Presiden UMNO.

“Ini bukti kita (UMNO) dalam kerajaan tidak berhenti bekerja untuk bumiputera,” katanya. – UTUSAN