Alcaraz pertahan gelaran Terbuka Perancis

Sukan

PARIS: Pemain tenis Sepanyol, Carlos Alcaraz melakar kebangkitan dramatik untuk menewaskan Jannik Sinner dan mempertahankan gelaran Terbuka Perancis.

Pertembungan generasi baharu tenis lelaki itu menyaksikan Alcaraz menang 4-6 6-7(4) 6-4 7-6(3) 7-6(10-2) untuk meneruskan penguasaan ke atas pemain No.1 dunia itu.

Kejayaan di Roland Garros itu menyaksikan Alcaraz menyamai rekod idolanya, Rafael Nadal, dengan lima gelaran Grand Slam pada usia 22 tahun.

“Menang Grand Slam kelima pada usia yang sama dengan Rafa adalah takdir. Ia satu penghormatan besar kerana dia idola dan inspirasi saya sejak kecil,” katanya

Alcaraz yang sebelum ini tidak pernah bangkit daripada ketinggalan dua set, mempamerkan semangat juang luar biasa dengan dibantu sorakan padu penonton Paris yang menjadi pencetus kebangkitannya.

“Tanpa sokongan mereka, saya takkan mampu bangkit. Saya padam semua fikiran negatif dan hanya fikir untuk terus melawan,” katanya

Detik paling mencemaskan hadir ketika Alcaraz ketinggalan 6-5 dalam set kelima, namun keajaiban terjadi apabila dia berjaya mengheret permainan ke tiebreak dan menamatkannya dengan penuh bergaya.

“Saya masih tak tahu bagaimana saya selamatkan mata itu. Bola hanya sipi mengenai garisan, dan dia (Sinner) memang menguasai permainan. Tapi itulah tenis, penuh kejutan,” ujar Alcaraz.

Kejayaan ini juga menghidupkan semula perdebatan mengenai persaingan generasi baharu apabila Sinner yang berusia 23 tahun turut memiliki tiga gelaran Grand Slam dan dilihat sebagai pencabar utama kepada Alcaraz dalam tempoh sedekad akan datang.

“Ini baru permulaan. Saya yakin dia akan bangkit lebih kuat. Dan saya juga perlu terus belajar, sebab saya takkan mampu menang setiap kali. Tapi saya harap kami akan terus bertemu di pentas akhir Grand Slam,” jelasnya.-AGENSI