PETALING JAYA: Tiada perbincangan untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bertanding ekoran hasratnya menyertai PKR.
Tengku Zafrul berkata, perkara itu bukan menjadi pertimbangannya susulan hasrat beliau keluar UMNO dan mahu menganggotai PKR pada baru-baru ini.
Katanya, beliau tidak bersetuju untuk mengadakan PRK tanpa alasan mendesak kerana ia merugikan masa dan duit rakyat.
“Saya terpanggil untuk menjelaskan beberapa perkara berkenaan keputusan saya berundur daripada UMNO dan permohonan menyertai PKR.
“Pertama, berkenaan desas-desus mengenai penyertaan dalam mana-mana pilihan raya kecil, baik di peringkat Persekutuan mahupun negeri, saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang perbincangan tentang perkara ini pernah berlaku.
“Ia bukan sebahagian daripada pertimbangan saya dalam membuat keputusan ini. Saya sememangnya tidak bersetuju dengan konsep pencetusan PRK tanpa keperluan yang mendesak, kerana PRK juga melibatkan masa dan duit rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Tengku Zafrul mengumumkan perletakan semua jawatannya dalam UMNO bagi menyertai PKR.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, beliau akan terus melaksanakan tugas saya sebagai seorang ahli Dewan Negara sehingga tamat tempoh perkhidmatan bulan Disember ini.
Berkenaan kedudukan sebagai Menteri, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada budi bicara Perdana Menteri.
“Saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti. Saya meninggalkan dunia korporat kerana niat untuk berkhidmat dan selagi khidmat diperlukan, saya bersedia untuk terus menyumbang tanpa perlu kepada jawatan,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa keputusan untuk berundur daripada UMNO adalah pilihan peribadi dan bukan atas sebarang paksaan.
“Saya akui, ia bukanlah suatu keputusan yang mudah, namun saya telah menimbangkan semua pandangan dan pendapat yang diberikan dengan cukup mendalam.
“Di dalam sebuah masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi, setiap individu mempunyai hak untuk membuat pilihan peribadi, dan saya amat menghargai semua pandangan serta penerimaan terhadap keputusan ini,” katanya.
Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan kepimpinan parti itu yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh bersama UMNO.