PETALING JAYA: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$119.6 bilion pada 30 Mei 2025, meningkat berbanding AS$118.4 bilion pada 15 April 2025.
Bank pusat itu berkata, paras rizab memadai untuk membiayai 5.0 bulan import barangan dan perkhidmatan, dan 0.9 kali jumlah hutang luar negeri jangka pendek.
“Komponen utama rizab tersebut ialah rizab mata wang asing (AS$106.4 bilion), paras rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (AS$1.3 bilion), hak pengeluaran khas (SDR) (AS$5.8 bilion), emas (AS$3.8 bilion) dan aset rizab lain (AS$2.3 bilion).
“Jumlah aset berjumlah RM627.9 bilion, terdiri daripada emas dan pertukaran asing dan rizab lain, termasuk Peruntukan Hak Pengeluaran Khas (SDR) (RM530.0 bilion) dan kertas kerajaan Malaysia (RM12.9 bilion).
“Selain itu, ia termasuk pinjaman dan pendahuluan sebanyak RM27.0 bilion), tanah dan bangunan (RM4.6 bilion) serta aset lain (RM49.2 bilion),” demikian menurut kenyataan.
BNM berkata, jumlah modal dan liabiliti berjumlah RM627.9 bilion, terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM193.2 bilion) dan mata wang dalam edaran (RM172.9 bilion).
Ia turut merangkumi deposit oleh institusi kewangan sebanyak RM131.8 bilion, deposit kerajaan persekutuan (RM5.4 bilion), deposit lain (RM82.4 bilion), kertas Bank Negara (RM10.6 bilion), Peruntukan SDR (RM28.4 bilion) dan liabiliti lain (RM3.1 bilion).- UTUSAN