Cklamovski janji aksi penuh kejutan

Sukan

KUALA LUMPUR: Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski mempunyai dua misi penting dalam aksi berdepan Vietnam bagi perlawanan kedua Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Cklamovski mahu mengakhiri badi tanpa kemenangan terhadap skuad Naga Emas yang kini sudah memasuki tahun ke-11, namun apa yang lebih penting baginya adalah mengutip tiga mata penuh bagi mencerahkan peluang Malaysia ke Piala Asia 2027.

Turun dengan skuad ‘berwajah baharu’ yang dibarisi lima pemain warisan ‘gred A’, pastinya para peminat bola sepak tempatan meletakkan harapan menggunung terhadap skuad kebangsaan untuk melakar kemenangan di laman sendiri.

Kali terakhir Malaysia menewaskan Vietnam ialah pada separuh akhir kedua Piala ASEAN 2014 dengan keputusan 4-2 dan pastinya pertemuan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027, malam ini amat dinanti-nantikan.

“Kami mahu mencipta sedikit sejarah pada malam esok (malam ini. Peluang sudah ada di hadapan kita jadi kita tidak sabar untuk mengambilnya,” kata Cklamovski dalam sidang akhbar pra perlawanan, semalam.

Dalam aksi pertama Kumpulan F, kedua-dua pasukan berjaya membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan langkah kanan yang menyaksikan Malaysia menewaskan Nepal 2-0 manakala Vietnam membelasah Laos 5-0.

Perbezaan jaringan menyaksikan Vietnam mendahului Kumpulan F dan kemenangan ke atas Vietnam malam ini akan membolehkan skuad negara melonjak selaku pendahulu.-UTUSAN