PTRB labur RM17j untuk kemudahan pemprosesan kelapa di China

Perniagaan

PETALING JAYA: PT Resources Holdings Berhad (PTRB) mengumumkan pengembangan strategik operasinya menerusi pelaburan bernilai RM17 juta untuk kemudahan pemprosesan kelapa baharu di China.

Menurut pemfailan di Bursa Malaysia, kemudahan itu akan dikendalikan oleh anak syarikat milik penuh PTRB, Fujian HJS International Holdings Co., Ltd., dan terletak di Taman Perindustrian Makanan China-Indonesia di Bandar Fuqing, Wilayah Fujian, China.

Taman perindustrian itu merupakan zon ekonomi khas yang direka untuk menyokong pembangunan industri berasaskan makanan melalui integrasi pembuatan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), logistik, pengurusan pintar taman perindustrian, serta perkhidmatan sokongan berkaitan.

PTRB disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 27 September 2022, dan menjadi syarikat milik asing sepenuhnya yang pertama menubuhkan operasi pemprosesan kelapa di dalam taman perindustrian ini dan di China secara keseluruhan, satu pencapaian penting dalam sejarah perkembangan kumpulan.

Pengarah Urusan PTRB, Heng Chang Hooi berkata, pihaknya optimis terhadap permintaan yang semakin meningkat bagi produk berasaskan kelapa di China, disokong oleh populasi besar seramai 1.4 bilion orang, minat terhadap pemakanan berasaskan tumbuhan, serta permintaan tinggi terhadap alternatif kepada tenusu.

“Permintaan terhadap air kelapa dan santan kelapa juga menunjukkan peningkatan yang ketara, didorong oleh kesedaran kesihatan yang lebih tinggi dan kecenderungan terhadap minuman semula jadi yang rendah gula.

“Selain itu, alternatif tenusu berasaskan kelapa seperti yogurt kelapa semakin popular, dengan jenama seperti ‘Yeyo’ boleh didapati di platform e-dagang seperti Tmall dan pasar raya premium seperti City Super, BHG dan ALDI.

“Di luar segmen makanan dan minuman (F&B), hasil sampingan kelapa seperti tempurung kelapa turut mempunyai kegunaan industri, termasuk dalam penghasilan karbon teraktif yang digunakan dalam penapis udara,” katanya.

Kemudahan baharu itu dilengkapi dengan teknologi canggih untuk menghasilkan pelbagai produk bernilai tambah seperti air kelapa beku, santan kelapa beku, kelapa kering dan derivatif lain berasaskan kelapa, sekali gus memanfaatkan sepenuhnya potensi buah kelapa.

Pengeluaran percubaan kini sedang dijalankan dan operasi komersial dijangka bermula pada pertengahan Jun 2025.

Pada fasa permulaan, kumpulan akan memberi tumpuan kepada pembekalan produk kelapa beku dan kering kepada pelanggan perniagaan-ke-perniagaan (B2B) seperti pengilang F&B di Wilayah Fujian dan kawasan sekitarnya.

Fujian terletak di lokasi strategik sebagai salah satu hab utama import dan pemprosesan kelapa matang di China, yang berfungsi menyokong rangkaian luas pengilang F&B dalam radius 700 kilometer dari kemudahan kumpulan.

Dalam pada itu, Chang Hooi berkata, PTRB kini sedang giat meneroka kerjasama B2B dengan pengedar dan pengilang di China, termasuk peluang untuk pengeluaran jenama persendirian dan perkhidmatan OEM sebagai sebahagian daripada strategi penyesuaian tempatan.

“Kami juga merancang untuk memanfaatkan infrastruktur eksport di Fujian bagi menembusi pasaran ASEAN, serta akan menyertai pameran perdagangan seperti Pameran Makanan dan Minuman China.

“Dari segi bekalan pula, PTRB sedang dalam proses memastikan bekalan kelapa matang yang konsisten dari Indonesia, yang merupakan antara pengeluar kelapa terbesar di dunia.Usahasama pembekalan ini akan menjamin kestabilan bekalan bahan mentah bagi memenuhi permintaan yang dijangkakan,” katanya.- UTUSAN